hobi

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, hobi dapat didefinisikan sebagai aktiviti kegemaran yang dilakukan pada waktu senggang dan bukan merupakan pekerjaan utama. Peribahasa rambut sama hitam tapi hati lain-lain menunjukkan bahawa setiap individu mempunyai hobi yang berbeza-beza dan tersendiriSesungguhnya semua orang mempunyai alasan tersendiri yang menyebabkan mereka melakukan hobi yang digemari itu. Menurut pandangan saya, hobi memang sewajarnya dimiliki oleh semua orang tanpa mengira usia, pangkat dan keturunan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa aktiviti positif seumpama ini banyak memberikan maslahat dalam kehidupan setiap insan. Tidak terkecuali saya, yang turut memperoleh kebaikan daripada hobi yang saya lakukan.


     Sebagaimana yang kita ketahui, hobi seperti membaca, melayari internet dan menonton televisyen dapat membantu meningkatkan pengetahuan am seseorang. Selain itu, saya juga dapat menguasai kemahiran dalam melakukan aktiviti harian seperti memasak dan melukis. Bukan itu sahaja, saya juga dapat menambakan ilmu pengetahuan apabila menonton rancangan dokumentari di televisyen seperti Majalah 3 dan ‘Insect War’. Bahkan, dalam zaman yang serba canggih ini, saya juga boleh mendapatkan informasi yang saya perlukan dengan mudah melalui internet. Maka, jelaslah bahawa dengan mempunyai hobi yang tertentu dapat membantu saya dalam menambahkan ilmu pengetahuan dan meningkatkan penguasaan serta kemahiran diri dalam pelbagai bidang karya kreatif.



Suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan adalah apabila saya mempunyai hobi, saya dapat mengekalkan kesihatan fizikal dan mental. Hobi yang sering saya lakukan untuk mengekalkan kesihatan fizikal dan mental adalah dengan mendaki gunung, berjoging , bersenam dan berenang. Dengan melaksanakan hobi ini, daya tahan kardiovaskular dapat ditingkatkan. Hal ini secara tidak langsung, dapat meningkatkan imuniti badan saya daripada sebarang jangkitan penyakit seperti demam, selesema dan batuk. Hal ini seterusnya dapat membantu saya melaksanakan aktiviti harian secara efektif kerana badan cergas, otak cerdas. Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, apabila saya memanfaatkan masa saya dengan hobi yang saya gemari secara tidak langsung dapat mengurangkan stres. Hal ini adalah kerana, apabila saya melakukan hobi, saya akan menumpukan sepenuh perhatian terhadap aktiviti tersebut dan bukannya memikirkan masalah kehidupan yang kadang kala membebankan minda saya. Maka sebagai akhirulkalam hobi banyak mendatangkan faedah kepada segenap strata masyarakat. Oleh itu, saya akan berhati-hati seperti menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak berselerak dengan menguruskan masa untuk hobi dan pelajaran saya dengan bijaksana. Selanjutnya, saya juga akan mengelakkan diri daripada melayari laman sesawang yang berunsur negatif agar mental dan jiwa saya tidak goyah dek nafsu yang bermaharajalela . Pada pendapat saya, ibu bapa hendaklah menggalakkan anak-anak mempunyai hobi sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini demikian kerana anak-anak umpama sebutir batu permata yang belum digilap, ibu bapalah yang bertanggungjawab menggilapnya sehingga menjadi berlian yang indah nan berkilau. Remaja yang berkembang baik dari psikologi dan fisiologi akan menjadi tulang belakang dalam memacu kegemilangan negara kelak. Marilah kita memikul tanggungjawab bersama-sama untuk merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020 supaya negara kita dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain.

No comments:

Post a Comment